HAJI
Status Pendaftaran Haji Tahunan (Pendaftaran)
Pendaftaran Jemaah Malaysia Di Luar Negara


Peraturan Urusan Menunaikan Fardu Haji Bagi Warganegara Malaysia Di Luar Negara
 

1.         PRA SYARAT PERMOHONAN

 

1.1

Pendaftaran dibuka kepada warganegara Malaysia yang menetap di luar negara dan mempunyai akaun simpanan (pendeposit) di Tabung Haji (TH) dan terbuka hanya pada tahun semasa sahaja.

 

1.2

Tarikh tutup permohonan ialah pada 1 Ramadhan.

 

1.3

Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang menetap di luar negara.

 

1.4

Pemohon hendaklah mempunyai akaun simpanan (pendeposit) di Tabung Haji (TH) dengan nilai simpanan yang tidak kurang dari kadar semasa Bayaran Haji jemaah haji luar negara (pohon dirujuk Para 2 di bawah).

 

1.5

Pemohon wanita hendaklah ditemani oleh suami atau mahram lelaki. Surat perakuan mahram hendaklah diperolehi dari Kedutaan/Konsulat Malaysia di negara tempat tinggal pemohon. Salinan asal surat ini hendaklah nanti dibawa bersama semasa menunaikan haji.

 

1.6

 

 

 

 

1.7

Sebelum membuat permohonan, bakal haji hendaklah terlebih dahulu mendapatkan penerangan dan penjelasan berkaitan Visa Haji, daripada Kedutaan Besar Di Raja Arab Saudi (KBDRAS) di negara tempat tinggal pemohon (atau negara yang paling hampir), bagi mempastikan tidak ada masalah bagi pihak Kedutaan mengeluarkan Visa Haji kepada pemohon. Sebagai panduan, tuan/puan bolehlah melayari laman web KBDRAS di http://www.mofa.gov.sa.

 

Pemohon yang berminat untuk mengikuti perkhidmatan pakej haji THTS/PJH, bolehlah melayari laman web berkenaan.

 

2.         BAYARAN HAJI

 

2.1

Kadar asas Bayaran Haji bagi tujuan pendaftaran haji yang perlu ada dalam akaun TH hendaklah tidak kurang daripada jadual berikut:-

 

 

Bil.

Perkara

BAYARAN HAJI 1430H

1.

Dewasa

RM 6,752.00

2.

Kanak-Kanak (Bawah 15 tahun)

RM 5,783.00

 

2.2

Bakal haji adalah diwajibkan untuk mencukupkan Bayaran Haji melalui cara berikut:-

 

 

2.2.1

Simpanan melalui wang tunai, cek atau Bank Draft bank tempatan, di Pejabat Cawangan TH, bagi bakal haji yang telah ada akaun TH.

 

2.2.2

Melalui bank atau agen kutipan simpanan yang dilantik oleh TH (Rujuk http://www.tabunghaji.gov.my).

 

2.2.3

Sekiranya bakal haji belum mempunyai akaun TH, maka sila hantarkan Bank Draft dalam RM atas nama "Lembaga Tabung Haji" kepada Bahagian Operasi Domestik (KL) seperti alamat di Para 13.2.

 

2.3

Bayaran Haji akan didebit mulai 1 Ramadhan dari akaun bakal haji.

 

2.4

Bayaran Haji di atas adalah untuk tahap perkhidmatan Jemaah Haji Muassasah yang merangkumi kos-kos berikut sahaja :-

 

 

2.4.1

Sewa penginapan di Makkah dan Madinah. Bilik berkongsi dengan muatan 5-6 orang; lelaki-perempuan berasingan. Jarak penginapan dari perkarangan Masjid Nabawi/Masjid Al Haram adalah dalam lingkungan 1000 meter untuk Makkah dan Madinah.

 

2.4.2

Makan tengahari dan malam secara pek, sepanjang berada di Tanah Suci.

 

2.4.3

Penginapan dan penyediaan makanan di Madinatul Hujjaj, Jeddah, serta kos pengangkutan dari Madinatul Hujjaj ke Airport.

 

2.5

Memandangkan Bayaran Haji ini hanya dapat menampung bayaran-bayaran yang dinyatakan di atas, maka adalah digalakkan supaya setiap bakal haji membawa sendiri wang tambahan (pocket money) sekurang-kurangnya atas kadar SR50.00 sehari selama berada di Tanah Suci untuk lain-lain perbelanjaan peribadi serta bayaran Dam, jika mengerjakan Haji Tamattuk atau Qiran. Anggaran harga satu dam ialah sebanyak SR350.00.

 

2.6

Selain dari Bayaran Haji yang perlu dibayar kepada TH seperti di Para 5 di atas, bakal haji hendaklah menyediakan 2 keping Bank Draft yang dibayar atas nama “UNITED AGENTS JEDDAH” seperti berikut:-

 

 

Bil.

Kategori Bakal Haji

Bank Draft 1

Bank Draft 2

1.

Dewasa

SR 594.00

SR 435.00

2.

Kanak-Kanak (2-15 tahun)

SR 297.00

SR 217.50

 

2.7

Bank Draft 1 adalah untuk bayaran perkhidmatan Mutawwif.

 

2.8

Bank Draft 2 adalah untuk bayaran perkhidmatan pengangkutan bas.

 

3.         VISA HAJI

 

3.1

Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk mendapatkan Visa Haji dari Kedutaan Besar Di Raja Arab Saudi (KBDRAS) di negara tempat tinggal pemohon (atau negara yang paling hampir).

 

3.2

Pada kebiasaannya (dan tertakluk kepada peraturan semasa di KBDRAS berkenaan), permohonan hendaklah dibuat dengan mengemukakan dokumen-dokumen seperti berikut:-

 

 

3.2.1

Tiket kapal terbang ke Jeddah dengan tarikh pergi/balik yang berstatus ”confirmed” (seperti keterangan di Para 4 di bawah).

 

3.2.2

Dua (2) keping gambar warna terbaru (ukuran 6 cm x 4 cm), latarbelakang warna putih.

 

3.2.3

Pasport Rasmi/Diplomatik/Antarabangsa.

 

3.2.4

Surat perakuan dan sokongan dari Kedutaan/Konsulat Malaysia di negara tempat tinggal pemohon.

 

3.2.5

Dua (2) keping Draf Bank seperti keterangan lanjut di Para 2 di atas.

 

3.2.6

Buku/Kad Kesihatan Antarabangsa dengan pengesahan suntikan Anti-Meningitis Meningococcal Quadrivalent ACYW-135 dan apa-apa jenis suntikan tambahan seperti mana yang disyaratkan oleh KBDRAS berkenaan (seperti keterangan di Para 4 di bawah).

 

3.2.7

Sekiranya bakal haji memperolehi visa ziarah diplomatik, bakal haji hendaklah mendapatkan catatan “Untuk Menunaikan Haji” pada stiker visa.

 

3.3

Selewat-lewatnya 15 hari sebelum tarikh penerbangan pergi atau pada 1 Zulkaedah (tarikh mana yang lebih awal), pemohon bertanggungjawab memberi pengesahan memperolehi visa haji kepada TH. Sekiranya pemohon gagal mematuhi pensyaratan ini, pemohon akan dianggap sebagai telah membatalkan pemergian hajinya pada tahun tersebut. Denda pembatalan seperti Para 8 di bawah, akan terus didebit dari akaun pemohon.

 

4.         PEMERIKSAAN KESIHATAN

 

4.1

Pemohon hendaklah menjalani pemeriksaan am kesihatan seperti tekanan darah, jenis darah dan urine test untuk mengetahui tahap kesihatan dan penyakit yang dialami.

 

4.2

Pemohon juga hendaklah mendapatkan suntikan;-

 

 

4.2.1

Anti Meningitis Meningococcal Quadrivalent ACYW-135 di negara berkenaan ; dan

 

4.2.2

Apa-apa jenis suntikan tambahan seperti mana yang disyaratkan oleh KBDRAS di negara berkenaan.

 

4.3

Pemeriksaan dan suntikan ini hendaklah diperolehi dari pegawai perubatan yang bertauliah. Pegawai perubatan tersebut hendaklah membuat pengesahan/endorsement butir-butir pemeriksaan/suntikan itu serta menurunkan cop rasmi (nama dan jawatan) beliau pada Buku/Kad Kesihatan Antarabangsa.

 

5.         JADUAL DAN TIKET PENERBANGAN

 

5.1

Pemohon bertanggungjawab mendapatkan tiket penerbangan berstatus confirmed, dengan tarikh tiba/balik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah (KAAIA) yang mematuhi tempoh masa berikut:-

 

 

5.1.1

Jika bakal haji memilih untuk ke Madinah sebelum Wukuf, mereka hendaklah tiba di Jeddah mulai 1 Zulkaedah hingga sebelum atau pada 15 Zulkaedah.

 

5.1.2

Jika bakal haji memilih untuk terus ke Makkah sebelum Wukuf, mereka hendaklah tiba di Jeddah di antara tarikh 16 Zulkaedah hingga 29 Zulkaedah.

 

5.1.3

Jika bakal haji memilih untuk ke Madinah sebelum Wukuf, atau memilih untuk tidak pergi ke Madinah, bakal haji boleh meninggalkan Arab Saudi mulai dari 17 Zulhijjah hingga 10 Muharram.

 

5.1.4

Jika bakal haji memilih untuk ke Madinah selepas Wukuf, tarikh terawal boleh memasuki Madinah ialah pada atau selepas 21 Zulhijjah, dan bakal haji boleh meninggalkan Arab Saudi mulai dari 25 Zulhijjah hingga 10 Muharram.

 

5.2

Selewat-lewatnya 15 hari sebelum tarikh penerbangan pergi atau pada 1 Zulkaedah (tarikh mana yang lebih awal), pemohon bertanggungjawab memberi pengesahan tarikh penerbangan pergi/balik kepada TH. Sekiranya pemohon gagal mematuhi pensyaratan ini, pemohon akan dianggap sebagai telah membatalkan pemergian hajinya pada tahun tersebut. Denda pembatalan seperti Para 8 di bawah, akan terus didebit dari akaun pemohon.

 

5.3

Setelah tiba di Arab Saudi, pemohon bertanggungjawab membuat pengesahan semula (re-confirmation) tarikh penerbangan balik, dengan syarikat penerbangan berkenaan atas kadar segera.

 

5.4

Sekiranya pemohon bercadang untuk membeli tiket penerbangan domestik (antara Jeddah dan Madinah), hendaklah dipastikan bahawa kadar tambang yang dibayar adalah kadar tambang pemegang Visa Haji; bukannya tambang pemegang visa selain dari Visa Haji. Untuk perhatian, kadar tambang pemegang Visa Haji ini jauh lebih tinggi dari kadar tambang pemegang visa lain.

 

5.5

Tiket kadar biasa yang (tersilap) dibeli untuk pemegang Visa Haji tidak akan diterimapakai oleh pihak Saudi Arabian Airlines di Jeddah/Madinah. Tempat duduk yang sepatutnya confirm juga, akan terbatal.

 

6.         PERGERAKAN DI ANTARA LOKASI-LOKASI UTAMA DI ARAB SAUDI

 

6.1

 

Sambutan Ketibaan di Lapangan Terbang Jeddah/Madinah

 

 

Petugas TH akan menunggu bakal Haji di Lapangan Terbang Jeddah atau Madinah. Bakal haji adalah dipohon supaya;

 

 

6.1.1

sentiasa membawa bersama (atau menyimpan) nombor telefon serta alamat dan menghubungi pejabat TH di Arab Saudi seperti terdapat di Para 13.2; dan

 

6.1.2

menuju ke bay tempat berkumpul jemaah haji Malaysia (berpandukan bendera Malaysia) di Terminal Haji.

 

6.2

Perjalanan Ke Madinah Dahulu

 

 

6.2.1

Bagi bakal haji yang memilih untuk ke Madinah sebelum Wukuf, mereka akan diuruskan menaiki bas bersama-sama dengan jemaah haji Malaysia yang akan ke Madinah pada masa itu.

 

6.2.2

Bakal haji kumpulan ini akan memakai ihram di Madinah, dan berniat umrah atau haji di miqat (tempat berniat) iaitu di Zulhulaifah yang sekarang dikenali sebagai Abyar ‘Ali, terletak kira-kira 10 km dari bandar Madinah. Bakal haji juga boleh berniat sebaik sahaja bas/kenderaan bergerak meninggalkan bangunan penginapan di Madinah.

 

6.2.3

Bakal haji ini juga berkemungkinan akan menaiki bas yang bercampur dengan warga negara lain bagi pergerakan dari Jeddah ke Madinah. Petugas TH hanya akan menyambut bakal haji apabila sampai di Perhentian Bas Madinah.

 

6.3

Perjalanan Ke Makkah Dahulu

 

 

6.3.1

Bagi bakal haji yang memilih untuk terus ke Makkah sebelum Wukuf, mereka hendaklah memakai ihram sebelum menaiki pesawat atau dari lapangan terbang terakhir sebelum berlepas ke Jeddah, dan berniat ihram umrah atau haji di dalam penerbangan sebelum atau semasa kapal terbang melintasi miqat.

 

 

6.3.2

Niat ihram itu juga boleh dilakukan sebaik sahaja bakal haji menaiki pesawat untuk mengelakkan terlupa atau tertidur semasa kapal terbang melintasi miqat.

 

 

6.3.3

Kumpulan bakal haji ini juga berkemungkinan akan menaiki bas yang bercampur dengan warga negara lain bagi pergerakan dari Jeddah ke Makkah. Petugas TH hanya akan menyambut bakal haji apabila sampai di Perhentian Bas Makkah.

 

7.         PERTUKARAN ATURCARA PERJALANAN DAN PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN

 

7.1

Bakal haji hendaklah mematuhi peraturan, aturcara perjalanan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh TH dan pihak Berkuasa Arab Saudi di Tanah Suci.

 

7.2

Bakal haji juga adalah tertakluk kepada jadual penerbangan yang telah disahkan sendiri.

 

7.3

Sekiranya bakal haji menukar mana-mana aturcara perjalanan mereka samada menukar tarikh/waktu penerbangan/perjalanan, atau menukar jenis perkhidmatan seperti jenis pengangkutan/jenis penginapan, maka kos yang berkaitan seperti tambang kenderaan (jenis lain atau pada tarikh baru), sewa penginapan baru (bilik/bangunan lain atau pada tarikh baru), akan memerlukan bayaran tambahan.

 

7.4

Bayaran tambahan tersebut perlu ditanggung sendiri oleh bakal haji.

 

7.5

Bakal haji tidak boleh membuat sebarang tuntutan balik atas apa-apa perkhidmatan yang disediakan di Tanah Suci tetapi tidak digunakan.

 

8.         PEMBATALAN HAJI

 

Bakal haji yang membuat pembatalan haji setelah pendaftaran haji didaftarkan oleh TH, akan dikenakan Denda Pembatalan sebanyak 40% daripada Bayaran Haji.

 

9.         PERATURAN HAJI ARAB SAUDI

 

9.1

Semasa berada di Tanah Suci, semua bakal haji akan ditempatkan di bawah pentadbiran Maktab Muassasah Asia Tenggara bagi kawasan Makkah, Arafah, Mina; dan di bawah Muassasah Adilla’ bagi Madinah.

 

9.2

Terdapat sebilangan pegawai/petugas TH dan Perubatan turut bersama untuk memberi perkhidmatan seperti berikut:-

 

 

9.2.1

Sambutan ketibaan bakal haji.

 

9.2.2

Pengurusan pengangkutan bas ke kawasan haji (dari Jeddah ke Madinah dan Makkah termasuk Arafah dan Mina), sepertimana aturan biasa pihak Nagabah (Konsortium Pengangkutan Bas).

 

9.2.3

Perumahan dan kemudahan penginapan.

 

9.2.4

Makan tengahari dan makan malam.

 

9.2.5

Bimbingan/ceramah agama.

 

9.2.6

Rawatan perubatan di klinik dan hospital.

 

9.2.7

Penerimaan bayaran dam.

 

9.2.8

Kaunter aduan dan penerangan.

 

9.2.9

Kaunseling dan Pakar Rujuk.

 

9.2.10

Kaunter simpanan dan pengeluaran wang tunai dalam Saudi Riyal (SR).

 

9.2.11

Ziarah dalam dan luar di Madinah (seperti jadual yang ditetapkan).

 

9.2.12

Pengurusan jenazah.

 

10.         KEBERANGKATAN BALIK JEMAAH HAJI

 

10.1

Jemaah haji hendaklah memaklumkan waktu dan tarikh keberangkatan balik mereka kepada Pengurus Maktab semasa di Makkah, atau Pengurus Zon semasa di Madinah, tidak lewat dari 3 hari sebelum tarikh keberangkatan balik.

 

10.2

Memandangkan penerbangan balik jemaah haji adalah melalui Terminal Antarabangsa di KAAIA, Jeddah, adalah menjadi tanggungjawab jemaah haji untuk berunding dengan Pengurus Maktab atau Pengurus Zon berhubung urusan pengangkutan balik jemaah haji samada terus melakukan check in di Terminal KAAIA, atau melapor diri di Madinatul Hujjaj, Jeddah.

 

10.3

Sekiranya jemaah haji memilih untuk terus melakukan check in di Terminal KAAIA secara persendirian:-

 

 

10.3.1

Jemaah haji adalah bertanggungjawab penuh untuk melakukan urusan check-in sehingga berlepas ke destinasi masing-masing.

 

10.3.2

Kos tambang kenderaan dari Makkah atau Madinah ke Terminal KAAIA, Jeddah, adalah di bawah tanggungan sendiri.

 

10.3.3

Jemaah haji hendaklah berada di Terminal KAAIA selewat-lewatnya 6 jam sebelum masa pesawat berlepas, atau lebih awal, tertakluk kepada kesesakan di Terminal.

 

10.4

Sekiranya jemaah haji memilih untuk melapor diri di Madinatul Hujjaj, Jeddah:-

 

 

10.4.1

Jemaah haji akan ditumpangkan dengan bas jemaah haji Malaysia dari Maktab lain sekiranya ada; atau

 

10.4.2

Menaiki kenderaan yang disewa oleh Muassasah, di mana kos tambang ditanggung oleh jemaah haji.

 

10.4.3

Jemaah haji hendaklah melapor diri dalam tempoh 18 jam sebelum pesawat berlepas.

 

10.4.4

Urusan penginapan, makan minum, pengangkutan dan check-in dari Madinatul Hujjaj ke Terminal KAAIA akan diurus oleh petugas TH Jeddah.

 

11.         BARANG-BARANG HADIAH/ TAG NAMA/ GELANG PENGENALAN HAJI

 

11.1

Barang-barang hadiah seperti beg galas, beg sandang dan gelang pengenalan haji akan diserahkan kepada bakal haji oleh Pengurus Maktab setelah bakal haji tiba di Tanah Suci Makkah.

 

11.2

Air zam-zam perlu diambil dan dibawa sendiri oleh bakal haji tertakluk kepada peraturan syarikat penerbangan yang dinaiki.

 

12.         MENINGGAL DUNIA DI TANAH SUCI

 

12.1

Jika berlaku kematian kepada bakal haji semasa di Tanah Suci, pengurusan jenazah akan dilakukan oleh pihak Muassasah yang akan dipantau oleh pihak TH. Jenazah tidak akan dibawa keluar dari Arab Saudi untuk tujuan pengkebumian di Tanah Air atau di tempat bakal haji menetap.

 

12.2

Petugas TH atau Jabatan Pendaftaran Negara akan memaklumkan kepada waris seperti nama yang tercatat dalam borang permohonan berkaitan kematian tersebut.

 

13.         TANGGUNGJAWAB MEMBERITAHU KONSUL HAJI DAN BAHAGIAN OPERASI DOMESTIK

 

13.1

Bakal haji hendaklah memaklumkan kepada Konsul Haji di TH Jeddah dan Pengurus (Visa) di Bahagian Operasi Domestik, TH Kuala Lumpur, melalui telefon atau e-mel atau faks berhubung perkara-perkara berikut, selewat-lewatnya 15 hari sebelum berlepas ke Jeddah:-

 

 

13.1.1

Tarikh dan waktu tiba (ETA) di Jeddah.

 

13.1.2

Syarikat dan nombor penerbangan yang dinaiki.

 

13.1.3

Bilangan bakal haji yang akan tiba.

 

13.1.4

Jenis visa (Haji atau Diplomatik) yang diperolehi.

 

13.2

Nombor telefon, faks, e-mel dan alamat pejabat TH di Arab Saudi, Bahagian Operasi Domestik dan TH Contact Centre (THCC)
semasa operasi haji ialah:

 

 

NO.

TH
JEDDAH

BAHAGIAN
OPERASI DOMESTIK (K.L.)

TH Contact Centre
(THCC)

Telefon :

009662-6876715
009662-6301638

03-20542518
03-20542371

03-62071919

Faks :

009662-6301667
009662-6873661

03-21635046

03-77284959

E-mel :

khalid@lth.gov.my

operasidomestik@lth.gov.my

th-info@lth.gov.my

Alamat :

Konsul Haji
Wisma Tabung Haji
24 Al-Bab Al-Zahabi Street,
Behind Jamjoom Motors Workshop,
Kilo 5, Old Makkah Road,
P.O. Box 593,
JEDDAH 21421,
KINGDOM OF SAUDI ARABIA.

Pengurus Besar
Bahagian Operasi Domestik
Lantai 30, Bangunan Tabung Haji,
201, Jalan Tun Razak,
50400 KUALA LUMPUR.

 

 

14.         HAK/ TANGGUNGJAWAB/ PENGECUALIAN TH

 

14.1

TH berhak meminda, mengubah, menambah atau membatalkan mana- mana peraturan yang terkandung di dalam risalah ini dari semasa ke semasa jika perlu, tanpa memberi sebarang notis.

 

14.2

TH tidak akan bertanggungjawab terhadap apa jua jenis kemalangan atau kejadian termasuk banjir, kebakaran, peperangan, ribut, gempa bumi dan apa jua jenis kesusahan, kesulitan, ketidakselesaan dan seumpamanya yang dialami dalam masa bakal haji menunaikan fardhu haji yang melibatkan tubuh badan atau harta benda dan bakal haji juga adalah terhalang dari mengambil apa jua jenis dakwaan, tindakan, tuntutan atau pampasan gantirugi terhadap TH berikutan dari apa jua perkara yang berbangkit atau yang berpunca dari kemalangan atau kejadian tersebut.

 

 

Nota: Maklumat ini tertakluk kepada pindaan akhir.